Assalamualaikum dan Salam Muhibbah
Alhamdulillah delegasi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) diketuai Setiausaha MAIM, Ybrs Tuan Haji Muhammad Ikram bin Ibrahim bersama Pegawai Atase Pendidikan Melaka Mesir, Ustaz Masykuri bin Khamid mengadakan kunjung hormat ke Kedutaan Besar Malaysia Jordan. Disambut mesra oleh TYT Ambassador Mohammad Nasri bin Abd Rahman diiringi bersama Ustaz Hanafiah, Atase Pendidikan Education Malaysia Jordan (EMJ).
Pertemuan mesra ini menjurus kepada perkongsian pandangan dan idea bersama dalam menjaga kebajikan dan keperibadian pelajar Melaka di negara berkenaan. Turut dibincang bersama berkaitan hal ehwal sahsiah dan akademik pelajar. Juga diperkenalkan bakal Pegawai Atase Pendidikan Melaka yang baharu, Ustaz Hafizi bin Ab Kadir yang akan memulakan tugas beliau pada bulan hadapan. Semoga pertemuan ringkas dan mesra ini membawa sejuta rahmat untuk dimanfaat bersama anak-anak Melaka yang melanjutkan pengajian di bumi Jordan.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Sesiapa yang menempuh perjalanan untuk menuntut ilmu, maka Allah memudahkan perjalanannya menuju syurga. Malaikat akan menaungi penuntut ilmu dengan sayapnya kerana reda terhadap perkara yang dia lakukan. Semua penghuni langit dan bumi akan memohon ampun bagi mereka yang memiliki ilmu pengetahuan, demikian juga ikan di dalam air. Keutamaan seseorang yang berilmu pengetahuan atas seorang ahli ibadah bagaikan bulan dengan sekumpulan bintang. Ketahuilah bahawa ulama adalah pewaris Nabi. Dan sekalian nabi tidaklah mewariskan wang dinar mahupun dirham (harta), melainkan ilmu. Maka sesiapa yang mengambilnya, maka dia telah mendapatkan keberuntungan besar." - Riwayat Abu Daud, Tirmizi, Ibnu Majah, al-Baihaqi dan Ibnu Hibban.