Assalamualaikum dan Salam Melakaku Maju Jaya,
24 November 2020 (Selasa)
Ziarah Prihatin Anak Asnaf.
Syukur pada Allah S.W.T pada hari ini Skuad Agihan Zakat Melaka (SAZ) MAIM bersama Timbalan Pengerusi MAIM, Datuk Md Rawi bin Mahmud dan Setiausaha MAIM, Ybhg Tuan Haji Muhammad Ikram bin Ibrahim telah berbesar hati menziarahi anak asnaf di DUN Lendu dan Dun Ayer Limau.
Adik Ahmad Haris bin Ahmad Khairuldin tersenyum dan tidak menyangka dengan kehadiran kami. Beliau merupakan pelajar lepasan SPM yang telah mendapat keputusan 9A dan sedang mengikuti kursus asasi bagi melanjutkan pengajian di universiti tempatan.
Manakala adik Mardhiah binti Dedi juga merupakan anak asnaf yang telah berjaya melanjutkan pengajian di ADTEC Alor Gajah dan kini sedang berada dalam semester kedua pengajian.
Memberi kata-kata semangat dan nasihat untuk terus kuat dan cekal sepanjang pengajian, bukan untuk sesiapa, hanya untuk memastikan mereka berjaya dalam pelajaran dan seterusnya membentuk keluarga sakinah wal rahmah.
MAIM turut menyumbang bantuan kit makanan dan juga komputer riba bagi kegunaan mereka sepanjang tempoh pengajian yang diadakan secara dalam talian pada ketika ini akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di negeri ini.
Insha Allah MAIM melalui Seksyen Pembangunan Insan akan sentiasa memastikan anak-anak asnaf ini mendapat perhatian yang sewajarnya khusus dalam bidang pendidikan demi kelangsungan hidup keluarga mereka ke arah yang lebih baik di masa akan datang.